Rabu, 12 Januari 2011

Yayasan Sofa





Yayasan Sofa Negeri Sembilan telah ditubuhkan pada 17 Februari 2004 yang bertujuan menjadi nadi kepada aspek pembangunan modal insan, sama ada yang berkaitan pemeliharaan anak yatim sehinggalah kepada pendidikan ilmu Islam dan pembangunan persekitarannya.
Yayasan Sofa Negeri Sembilan juga menjadi pusat kaji selidik ilmu dalam pelbagai genre Islam dan pada masa yang sama juga mewujudkan Madrasah, Pusat Tahfiz dan Asrama Anak Yatim dalam usaha memantapkan ketrampilan manusia ke arah yang lebih sempurna bagi menghadapi dunia yang begitu mencabar ini.
Justeru, banyak usaha telah dilakukan oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan dan antaranya menganjurkan pelbagai seminar antarabangsa, menghimpunkan Ulama dunia, menceburi bidang percetakan dan audio visual serta program-program keagamaan.
Dalam konteks ini, Yayasan Sofa Negeri Sembilan juga menjadi nadi kepada warga miskin dan orang kurang upaya, malahan bantuan sentiasa dihulur supaya golongan ini dapat hidup selesa pada masa hadapan.
Sebagai pertubuhan yang juga mengumpulkan dana dan menyalurkan bantuan, Yayasan Sofa Negeri Sembilan tidak terkecuali membiayai sepenuh kehidupan Anak Yatim di dua asrama – Lelaki dan Perempuan di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau.
Berdasarkan hakikat inilah, Yayasan Sofa Negeri Sembilan mempunyai keyakinan penuh bahawa `dimana ada kemahuan, disitu ada jalan’. Ahlinya yang kini hampir 500 orang akan terus menyumbang bakti dalam kerja kebajikan serta menegakkan syiar Islam berlandaskan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Oleh yang demikian, dengan kekuatan semangat dan sokongan ahli serta para dermawan, impian untuk menyaksikan kawasan Kampung Bukit Sembilan, Chengkau menjadi `One Stop Centre’ (Pusat Setempat) bagi ilmuan Islam kini semakin tercapai.
Semoga cita-cita Yayasan Sofa Negeri Sembilan yang bertindak sebagai pengendali kebajikan, pengumpul dana, pengembangan minda, pendidikan dan pengukuhan jati diri serta modal insan akan tercapai bersama iringan doa sekalian umat Islam.
Apa yang pasti, Yayasan Sofa Negeri Sembilan kini telah berjaya mengubah imej Kampung Bukit Sembilan, Chengkau ini daripada dahulunya rimba kepada gerbang ilmu dan kebajikan yang unggul di Negeri Sembilan khususnya dan Malaysia amnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Ruang Iklan